Pusaka Terry Fox

Peserta Larian Terry Fox 2007 di Milan, Itali

Biarpun sudah lama meninggal dunia, Fox masih kekal sebagai tokoh penting dalam budaya rakyat Kanada. Keazamannya menyatukan bangsa; semua golongan masyarakat menghulurkan sokongan kepada lariannya dan kenang-kenangannya mengilhamkan rasa bangga di seluruh negara.[69] Sebuah tinjauan kebangsaan yang diadakan pada tahun 1999 menamakannya sebagai wira terhebat di Kanada,[70] manakala beliau di tangga kedua mengekori Tommy Douglas dalam rancangan The Greatest Canadian siaran Perbadanan Penyiaran Kanada pada tahun 2004.[71] Taraf kewiraan Fox berpunca daripada gambarannya sebagai seorang rakyat biasa yang menghasilkan sesuatu a luar biasa dan berinspirasi.[72][73] Ada yang berhujah bahawa kebesaran Fox adalah hasil wawasannya yang berani, pengejaran matlamatnya yang penuh azam, keupayaannya mengatasi dugaan seperti ketiadaan pengalaman dan keseorangan usahanya.[72][74] Sebagai penyokong Fox di rancangan The Greatest Canadian, personaliti media Sook-Yin Lee membandingkannya dengan seorang wira klasik, Phidippides, seorang pelari yang menyampaikan berita Pertempuran Marathon sebelum mati, serta menegaskan bahawa Fox "menjelmakan nilai-nilai Kanada yang tersanjung, iaitu perikemanusiaan, komitmen, dan ketabahan". Lee mengetengahkan perdampingan antara kemasyhuran hasil imej ciptaannya yang tidak boleh dilupakan, dan penolakan perhiasan kenamaannya itu.[75] Di kalangan tokoh-tokoh Kanada, Fox adalah seorang wira luar biasa yang dipandang tinggi walaupun tidak sempurna.[76] Serangkap obituari dalam majalah Canadian Family Physician menekankan keinsanannya serta memperhatikan bahawa kemarahannya terhadap diagnosisnya, gambaran salah dari media dan sesiapa yang disangkanya mencerobohi dikarinya—menentang keinginan agar Fox dijulang sebagai keramat, sebaliknya meletakkan pencapaiannya dalam jangkauan semua orang.[72]

Sikap terhadap kecacatan

Biarpun mengalami kecacatan, namun Fox tetap tegap semangat. Beliau enggan menganggap dirinya sebagai orang kurang upaya,[77] dan tidak mengizinkan sesiapa mengasihaninya. Beliau memberitahu sebuah stesen radio di Toronto bahawa hidupnya semakin "mendatangkan kepuasan dan cabaran" semenjak kehilangan sebelah kaki.[72] Kejayaannya membantu membetulkan pandangan rakyat Kanada terhadap kecacatan dan penyertaan golongan kurang upaya dalam masyarakat.[78][79] Tindakan Fox menerangi lagi golongan kurang upaya,[79][80] tambahan pula mempengaruhi sikap orang kurang upaya dengan memperlihatkan kecacatan mereka dari sudut positif.[79] Rick Hansen mengulas bahawa larian berkenaan mencabar masyarakat agar memberi tumpuan kepada keupayaan, bukan kekurangan upaya. "Yang dirasakan sebagai batasan menjadi peluang besar. Golongan kurang upaya mula melihat dengan cara yang berbeza. Mereka keluar dengan rasa penuh bangga", tulisnya.[81]

Sebaliknya, naratif yang menyelubungi Fox juga dikritik kerana menggambarkan tumpuan media kepada pemaparan stereotaip mengenai pencapaian kewiraan luar biasa orang kurang upaya, daripada pencapaian yang ala kadar.[82][83] Pelakon Alan Toy berpendapat "Memanglah duit dikumpul untuk penyelidikan barah, dan keupayaan manusia melakukan pencapaian juga ditunjukkan, tetapi ini boleh menyebabkan ramai lagi orang kurang upaya berasa seperti kegagalan jika mereka belum melakukan sesuatu yang luar biasa. Mereka mungkin bekerja sebagai pengurus bank atau pekerja kilang; ini cukup membuktikan mereka berguna kepada masyarakat. Perlukah kita menjadi "supercrips" (orang cacat perkasa) untuk menjadi bermakan? Kalau tak super pun, adakah kita tak bermakna?"[82] Pengidolaan Fox oleh media juga dikritik kerana menekankan pendekatan individualistik terhadap penyakit dan kecacatan, oleh yang mana badan adalah jentera yang perlu dikuasai, bukan model sosial kecatatan, yang mana sikap masyarakat dan halangan daripada memasuki masyarakat memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang kurang upaya.[84][85]

Larian Terry Fox

Rencana utama: Larian Terry Fox

Salah seorang penyokong terawal perjuangan Fox adalah Isadore Sharp, pengasas Four Seasons Hotels. Sharp pernah kematian seorang anak lelaki akibat barah, oleh itu dia menawarkan Fox dan teman-temannya penginapan percuma di hotel-hotelnya.[2] Sharp menderma $10,000 sambil mencabar 999 perniagaan lain untuk melakukan yang sedemikian.[86] Sharp juga mencadangkan larian kumpul dana tahunan atas nama Fox. Fox bersetuju dengan syarat bahawa larian tersebut bukan bersifat pertandingan; tiada menang kalah, dan sesiapa yang mengambil bahagian boleh berlari, berjalan kaki atau menunggang.[87] Projek cadangan Sharp berdepan dengan tentangan. Persatuan Barah khuatir bahawa larian pada musim luruh boleh mengurangkan kempen yang selama ini diadakan pada bulan April, manakala badan-badan amal yang lain percaya bahawa satu lagi acara kumpul dana boleh mengurangkan hasil kutipan untuk perjuangan masing-masing.[88] Walaupun begitu, Sharp tetap meneruskan rancangannya, maka beliau, pihak Four Seasons Hotels dan keluarga Fox menganjurkan Larian Terry Fox pada 13 September 1981.[87]

Lebih 300,000 orang mengambil bahagian dan menyumbangkan $3.5 juta pada Larian Terry Fox yang sulung ini.[86] Sekolah-sekolah di seluruh Kanada diseru agar menyertai larian kedua pada 19 September 1982.[89] Penyertaan sekolah berterusan hingga hari ini, dengan berubah menjadi Hari Larian Sekolah Kebangsaan (National School Run Day).[90] Acara larian amal yang mengumpul lebih $20 juta pada enam tahun terawalnya,[88] berkembang menjadi acara antarabangsa apabila lebih seribu orang di 60 buah negara mengambil bahagian pada tahun 1999, serta membuahkan dana $15 juta pada tahun itu sahaja.[91] Pada ulang tahun ke-25 Larian Terry Fox, lebih tiga juta orang mengambil bahagian setahun. Geran dari Yayasan Terry Fox selaku penganjur larian amal, telah membantu para saintis Kanada banyak melangkah maju dalam bidang penyelidikan barah.[92] Larian Terry Fox adalah acara kumpul dana sehari untuk penyelidikan barah terbesar di dunia,[93] dan lebih $500 juta telah dikumpul atas namanya.[94] Larian Terry Fox ke-30 diadakan pada 19 September 2010.[95]

Penghormatan

Tugu peringatan Terry Fox dibina di tepi bandar Thunder Bay di Lebuhraya Trans Kanada berdekatan titik di mana Fox terpaksa menghentikan lariannya.

Antara bahan-bahan peringatan zahir di Kanada yang membawa nama Fox:[96]

  • Lebih kurang 32 jalan raya, termasuk Terry Fox Courage Highway dekat Thunder Bay, Ontario, berhampiran titik tamatnya larian Fox, ditandai tugu patung gergasi Fox;[97]
  • 14 sekolah, termasuk sebuah sekolah baru di pinggir bandar Montreal yang dinamakan semula sebagai Sekolah Rendah Terry Fox sebaik selepas kematiannya,[98] tidak lupa juga sekolah tinggi Port Coquitlam di mana beliau lulus, dinamakan semula Sekolah Menengah Terry Fox Secondary School pada 18 Januari 1986;[99]
  • 14 bangunan lain, termasuk kebanyakan pusat sukan dan Institut Penyelidikan Terry Fox di Vancouver;
  • 7 patung, termasuk Tugu Terry Fox di Ottawa, merupakan permulaan The Path of Heroes, inisiatif kerajaan persekutuan yang bertujuan memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara;[100]
  • Sebuah gunung yang dahulunya tanpa nama di Pergunungan Rocky di Banjaran Selwyn, dinamakan semula Gunung Terry Fox oleh kerajaan British Columbia;[101] kawasan sekelilingnya pula dikenali sebagai Taman Wilayah Gunung Terry Fox; dan
  • Kapal pemecah ais Pengawal Pantai Kanada CCGS Terry Fox yang ditempah pada tahun 1983.[102]

Sebaik sahaja kematiannya, Fox dinamakan Newsmaker of the Year untuk tahun 1981,[103] manakala Canada Post mengumumkan pengeluaran setem peringatan pada tahun 1981, memecah tradisi bahawa setem yang memperingati tokoh negara hanya boleh direka sepuluh tahun selepas kematian mereka.[104] Bintang rock UK Rod Stewart terharu sangat oleh acara Maraton Harapan sehingga beliau terilham untuk menggubah dan menujukan lagu "Never Give Up on a Dream" — dari album Tonight I'm Yours terbitan tahun 1981 — khas untuk Fox. Stewart also called his 1981–1982 tour of Canada the "Terry Fox Tour".[105]

Terry Fox Hall of Fame ditubuhkan pada tahun 1994 untuk mengiktiraf individu-individu yang memberikan sumbangan yang memperbaiki kualiti hidup golongan kurang upaya.[100][106] Pusat penyelidikan Makmal Terry Fox diasaskan pada 675 West 10th Avenue di Vancouver, BC, Kanada untuk melakukan penyelidikan termaju untuk mendalami punca-punca dan mencari penawar barah.

Filem

Kisah Fox didramakan dalam filem biopik The Terry Fox Story yang diterbitkan oleh Home Box Office pada tahun 1983. Filem ini disiarkan di televisyen di Amerika Syarikat, tetapi ditayangkan di pawagam di Kanada.[107] Filem ini dibintangi pelakon kudung Eric Fryer dan Robert Duvall, dan juga filem pertama yang dibuat eksklusif untuk televisyen berbayar.[108] Filem ini menerima ulasan yang bercampur-campur tetapi positif pada amnya,[107] tetapi dikutuk oleh keluarga Fox kerana cara baran mendiang digambarkan.[109] The Terry Fox Story dicalonkan untuk lapan Anugerah Genie, yang lima daripadanya jatuh di tangannya, termasuk Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.[110]

Filem kedua bertajuk Terry yang memberi tumpuan kepada Maraton Harapan, diterbitkan oleh rangkaian televisyen CTV pada tahun 2005. Fox dilakonkan oleh Shawn Ashmore yang bukan orang kudung; kerja suntingan digital dimanfaatkan untuk menindihkan kaki buatan ke atas kaki sebenarnya. Filem ini mendapat sokongan keluarga Fox kerana menggambarkan sikapnya yang lebih positif berbanding filem pertamanya.[109]

Rujukan

WikiPedia: Terry Fox http://public.sd43.bc.ca/secondary/terryfox/about_... http://www.brantfordexpositor.ca/ArticleDisplay.as... http://www.canadianencyclopedia.ca/index.cfm?PgNm=... http://archives.cbc.ca/IDD-1-74-1649/people/terryf... http://www.cbc.ca/canada/story/1999/09/19/foxrun99... http://www.cbc.ca/canada/story/2005/09/17/Fox_2520... http://www.cbc.ca/greatest/ http://www.cbc.ca/greatest/top_ten/nominee/fox-ter... http://www.cbc.ca/news/background/fox_terry/ http://www.csse.ca/CJE/KMS/Nov8Jubas.pdf